Emosi didefinisikan sebagai suatu ekspresi perasaan naluri yang kuat seperti
sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Iaitu kehebatan dan kesensitifan
perasaan yang selalunya diluahkan dari dalaman kepada tingkah laku tertentu atau
cara kita menyampaikan perasaan. Perasaan-perasaan yang kuat ini akan
mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan tubuh fizikal terkawal
seperti mimik muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan.
Dalam istilah Psikologi, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang
berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan
luaran (pergaulan sosial). Ia adalah suatu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan
oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas
untuk mempengaruhinya. Apabila minda tersebut bangkit untuk menunjukkan apa
yang dirasainya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai emosi.
Ada kalanya emosi dianggap sebagai suatu alasan yang saling berlawanan.
Sama ada beralasan untuk mengikut kehendak emosi atau tidak membiarkan emosi
menguasai diri. Demikian adalah konteks yang selalu berkaitan mengenai emosi iaitu
tentang penghasilan resolusi untuk mengawalnya.
PERKEMBANGAN EMOSI
Sejak awal kelahiran, manusia sentiasa berkembang dan terus berkembang
dalam pelbagai sudut pertumbuhan fizikal, psikologi, mental dan sebagainya. Emosi
juga adalah suatu bentuk daya kognitif yang terbentuk dan berkembang secara
peringkat demi peringkat semenjak awal kelahiran.
Emosi Idea
Secara umumnya peringkat ini menggambarkan bahawa ekspresi penyampaian
emosi adalah berada di peringkat permulaan. Manusia menyampaikan emosinya
secara tidak sedar dan ia keluar daripada naluri semula jadi bawah sedar. Seorang
kanak-kanak dapat merasakan sesuatu perasaan tetapi tidak dapat menyatakan
mengapa, bagaimana dan siapa yang menyebabkan timbulnya perasaan tersebut.
Emosi yang disampaikan lebih dalam bentuk tindak balas gerakan fizikal (Azleena &
Zainal, 2004).
Emosi Pemikiran
Emosi akan berkembang ke peringkat yang seterusnya iaitu apabila seseorang
mampu mengaitkan emosi dengan pemikiran. Pengalaman daripada apa yang dilihat,
didengar dan dialami direkodkan secara langsung sebagai reaksi emosi. Reaksi-reaksi
tersebut akan disimpan dalam memori yang akan digunakan dalam proses pemikiran
kelak (Azleena & Zainal, 2004).
Pada peringkat awal kanak-kanak, kebolehan di dalam memahami emosi dan
puncanya semakin meningkat. Pengawalan emosi kanak-kanak mula meningkat
termasuklah kemampuannya untuk menerima kekecewaan serta menjadi seorang yang
fleksibel dalam mengawal emosi dan dorongan.
No comments:
Post a Comment